Bangun untuk hari kelima perjalanan kami di Pulau Sabang dan Banda Aceh, keluar saja kami dari bilik penginapan di Hotel Rumoh PMI dah tersedia di meja kafe sarapan pagi. Selesai sarapan, Fahmi bawa kami ke Rumoh Aceh, ada yang mengatakan ini adalah Rumoh Aceh yang asli hasil peninggalan sejarah. Untuk masuk ke Rumoh Aceh seorang perlu bayar Rp750(20 sen), nak masuk rumah ni kena panjat beberapa anak tangga kayu sebelum boleh masuk ke dalamnya. Ketinggian Rumoh Aceh ini sekitar 3-5 meter. Siapa yang minat sejarah mesti minat ke tempat macam ni. Disekitar kawasan Rumoh Aceh di Banda Aceh ni pun banyak lagi kawasan tinggalan sejarah yang boleh dilihat.
Seterusnya kami singgah di satu binaan putih yang jelas dilihat dari tepi jalan besar, binaan ini dinamakan Gunongan, satu lagi tapak bersejarah di Banda Aceh, Gunongan ni bila dilihat betul2 memang nampak macam rupa gunung tapi dibina oleh manusia. Gunongan ni ada tangga kalau rasa nak panjat ke atas, tapi hati2.. lorong dan tangga nak naik ke atas tu taklah besar mana, boleh kata muat2 badan je. Gunongan ni dikatakan tempat permainan tuan puteri yang dibina oleh Sultan Iskandar Muda khas untuk tuan isterinya yang terlalulah rindukan kampung halaman yang banyak gunung2 iaitu di Pahang.
Lepas penat memanjat gunung, aku dan keluarga ke lokasi seterusnya iaitu Muzium Tsunami, Muzium ini dibina pada tahun 2011 sempena memperingati peristiwa tragis Tsunami yang menghentam Aceh. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke muzium ini, cuma nak ingatkan, beg2 tak boleh dibawa masuk ke muzium ni, kamera, dompet, dan handphone je boleh. Tapi jangan risau, locker disediakan untuk simpan beg2 kalau2 tak tau nak letak mana. Rasa gemuruh jugak bila melangkah masuk ke muzium ni, permulaan perjalanan aku terpaksa lalui satu lorong yang agak gelap dan air mencurah di dinding kiri dan kanan aku. Agaknya inilah suasana mangsa2 semasa Tsunami menenggelamkan Aceh dulu, dengan air yang sangat tinggi dan keadaan gelap.. Sampai dihujung lorong tadi, ada satu ruang yang penuh dengan skrin2 dengan gambar dan video semasa berlakunya Tsunami.
Di satu ruang di Muzium Tsunami terdapat satu ruang berbentuk bulat dan disekeliling dinding diruangan ini dipenuhi nama2 mangsa yang terkorban akibat Tsunami, walaupun nama2 ini masih tidak lengkap namun bila aku berada di ruang ni, sebak tu terasa sangat, bila aku dongak ke atas terlihat jelas kalimah Allah S.W.T. Di ruang ni dipasang ayat2 suci Al-Quran, memang sayu hati ni bila aku lihat nama2 ni. Ruang ni nak menunjukkan yang nama2 di dinding ini telah pulang ke penciptanya iaitu Allah S.W.T. Semoga syurga untuk mereka semua, InsyaAllah.
Keluar dari ruangan tadi, kami melalui satu jambatan dan banyak bendera dari pelbagai negara boleh dilihat, negara2 ini adalah negara yang membantu selepas Aceh dilanda Tsunami. Kami terus berjalan di dalam muzium Tsunami, banyak lagi ruang2 yang memperlihatkan kejadian sebelum, semasa dan selepas Tsunami. Hati ni kadang2 sebak bila terbayang keadaan masa tu. Semoga menjadi iktibar dan pedoman buat semua.
Lepas berjalan di Muzium Tsunami, tiba masa untuk shopping, harga telekung, kain pelikat memang agak murah kalau dibeli di Aceh, disamping dapat shopping, dapat juga bantu peniaga2 ni sebab ada ramai antara mereka ni mangsa Tsunami yang terselamat, jangan terkejut kalau tiba2 mereka ceritakan pengalaman mereka semasa Tsunami melanda Aceh, siapkan tisu je la.. Lepas tu kami singgah di satu lagi masjid bersejarah di Banda Aceh yang turut terkesan teruk dek Tsunami iaitu Masjid Baiturrahim yang kedudukannya memang sangat hampir dengan laut.
Selesai berjalan kami singgah makan di satu restoran ‘Rumah Makan Abu Razak’, makan tengahari kami sekeluarga harini ialah Rp180,000(RM50).Disebabkan pemandu kami Fahmi ada urusan lain petang tu, kami terpaksa pulang ke hotel menaiki beca, seronok juga merasa naik beca di Banda Aceh, beca kat Aceh ni tak guna basikal, diorang guna motosikal. hehe.. tambang kami menaiki dua beca ni ialah Rp70,000(Rm19). Satu pengalaman yang mungkin patut dicuba oleh semua yang nak berjalan2 di Banda Aceh. Sebelum pulang ke hotel, kami singgah di salah satu tempat untuk membeli cenderahati dari Aceh iaitu ‘Putra Aceh’. Kat sini, bermacam2 jenis cenderahati asli dari Aceh ada dijual, siapa peminat senjata rencong Aceh boleh beli rencong hiasan di sini untuk dibawa balik ke Malaysia.
Malam terakhir kami di Banda Aceh, aku, isteri dan Nisa duduk di ruang depan hotel sebab nak dapatkan signal wifi, tengah duduk2 tiba2 terdengar seorang abang ni yang juga staff Hotel Rumoh PMI yang menceritakan pengalaman beliau sebagai anggota penyelamat selepas kejadian Tsunami, aku cuba duduk rapat dengan abang tadi dan menyelit, nisa dan isteri aku pun join sama. Abang ni bukan saja terlibat sebagai penyelamat, bahkan beliau juga berdepan saat cemas semasa Tsunami melanda. Kata beliau, masa Tsunami melanda, dia berada hampir dengan masjid Baiturrahman dan sempat memandu kereta jauh dari kawasan tersebut semasa orang lain sibuk menyelamatkan diri. Semasa operasi menyelamat, abang ni bertugas menguruskan penghantaran mayat ke perkuburan masal, kata beliau masa tu mayat terlalu ramai sampaikan tiada proses pengecaman dilakukan, semua mayat yang dijumpai terus ditanam beramai2 di kawasan perkuburan disediakan. Mendengar cerita abang ni, hati aku berkata “kuat betul hati abang ni, belum tentu aku boleh buat perkara yang sama macam”.
Hari terakhir kami di Banda Aceh, harini kami akan dibawa pusing2 Banda Aceh lagi sebelum kami pulang ke Malaysia. Harini Fahmi lain pulak yang akan bawa kami pusing2 disekitar Banda Aceh, sebelum keluar dari Hotel Rumoh PMI, kami sempat bergambar dengan warga Rumoh PMI yang sangat2 mesra dan baik dengan kami terutamanya En.Safriyal yang susah2 bawa kami ke Putra Aceh malam2.
Selepas keluar dari Hotel Rumoh PMI, kami dibawa terus ke satu kawasan yang popular di Aceh selepas kejadian Tsunami iaitu di Kapal PLTD Apung. Kapal yang membekalkan tenaga ini berada di pelabuhan semasa Tsunami melanda dan 7 orang berada di atas kapal ini sebelum Tsunami tiba di Aceh. Selepas hentaman pertama Tsunami, air surut sejauh lebih kurang 2 km dan keadaan kapal semasa itu dikatakan senget, 6 orang yang berada di atas kapal turun dari kapal. Seorang lagi yang masih berada di atas kapal sedang tidur kerana bertukar shift. Bila tersedar dari tidur dilihat kapal yang dinaiki dah berada di atas daratan selepas beberapa hentaman Tsunami yang berikutnya.
Kapal ini tersadai di atas 2 buah rumah dan 4 mayat yang terlihat dibawah perut kapal dan mereka disemadikan terus dibawah kapal tersebut. Menurut pakcik yang membawa kami naik ke kapal PLTD ni, beliau juga adalah salah seorang mangsa Tsunami. Beliau dan ibunya selamat walaupun telah dibawa arus sejauh 1 km dan cuma berpaut pada tiang bendera. Kuat betul semangat pakcik ni, menurut beliau lagi, semasa kejadian, beliau biarkan ibunya berpaut pada bahunya sedangkan dia menahan nafas di dalam air . Menurut beliau lagi semasa sebelum Tsunami teruk melanda Aceh, air laut surut sejauh lebih kurang 2 km, ramai yang turun ke pantai untuk mengutip ikan2 dan tiada siapa pun tahu Tsunami akan tiba. Rumah pakcik ini habis ranap dihentam Tsunami dan telah dibina semula atas belas ihsan dan bantuan dari negara Canada.
Selepas itu kami terus dibawa ke lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, kami akan pulang ke Malaysia. Jangan lupa sediakan aiport tax sebanyak Rp500,000(RM141). Perjalanan kami ke Pulau Sabang dan Banda Aceh takkan kami lupakan, berbagai kisah sedih dan sayu aku dengar dari mulut mereka yang mengalami sendiri rasa ketakutan berdepan Tsunami dan kesedihan kehilangan keluarga tersayang, ada antara mereka yang kini tinggal sebatang kara. Semoga perjalanan ini memberi iktibar untuk semua. Terima Kasih buat semua yang melayan kami dengan sangat baik disepanjang kami berada di Pulau Sabang dan Banda Aceh ni. Hanya Allah S.W.T saja yang mampu membalasnya
Ikuti kisah Bercuti di Pulau Sabang – Part 1
Ikuti kisah Bercuti di Pulau Sabang – Part 2
Ikuti kisah Bercuti di Pulau Sabang – Part 3
Ikuti kisah Percutian ke Banda Aceh – Part 1
Ikuti kisah Percutian ke Banda Aceh – Part 2
Salam Tuan Blog.
Boleh share nombor contact supir di sabang dan Banda aceh?
terima kasih 🙂
Reply
Boleh emailkan saya detail adi tak ? sitiraihanaafiqah@gamil.com
Reply
Zulhatfi
Reply:
January 23rd, 2020 at 7:06 am
boleh takde masalah, saya akan emailkan ya.
Reply