Bercuti ke Kuala Terengganu – Part 2

Selepas berhempas pulas menghabiskan sotong goreng tepung, perjalanan kami di teruskan tapi sebelum tu kami singgah solat di Masjid Mengabang Telipot tak jauh dari warung Pok Nong tadi. Masjid ni rasanya masih baru dibina dan suasana di luar masjid ni memang nyaman disebabkan angin kuat dari arah pantai.

Masjid Mengabang Telipot, Kuala Terengganu

Selesai solat kami bergerak menuju ke Pulau Duyong, kami tak rancang nak ke sini tapi disebabkan Kak Mim kata kat sini ada banyak ikan duyong cantik2 maka abang pun membelokkanlah kereta kesini, hahaha.. Ok, sebenarnya kami ke Pulau Duyong ni nak tengok view Duyong Marina, kat sini ada resort yang menarik jugak kalau tengok dari luar. Jalan nak kesini pun agak terkedalam dan abang drive terlebih dalam sampai guard suruh u-turn sebab kami dah sampai kawasan yang tak sepatutnya. Masa abang drive tu abang perasan la guard tu angkat-angkat tangan, abang ingat dia nak buat senaman petang, rupanya dia nak bagitau jalan depan tu tak boleh masuk, kena u-turn.

Sampai je kat Duyong Marina ni, rasa macam dekat oversea pulak, cantik pemandangan sini. Resort Duyong Marina ni pun nampak macam best je untuk bawa keluarga bercuti. Dari Duyong Marina ni sebenarnya boleh nampak bandar Kuala Terengganu, Hotel Grand Continental yang kami duduk tu pun boleh nampak jelas dari sini.

Pemandangan di depan Duyong Marina

Lepas santai-santai petang dekat Duyong Marina, kami bercadang untuk balik ke hotel tapi sebelum tu kami singgah ke Restoran Ulek Mayang  untuk beli makan malam. Restoran Ulek Mayang ni makanan dia sedap jugak, malam tu abang order nasi goreng kerabu, mee hailam, milo ais dengan kopi o ais, semuanya dengan harga RM15.50. Ruang dalam restoran ni kemas dan menarik walaupun agak kecil. Restoran ni terletak agak hampir dengan Hotel Grand Continental, terletak di barisan kedai depan Hotel Grand Continental.


Matahari mula bangkit di hari ketiga, kami mulakan hari indah ni dengan sarapan pagi di Hotel Grand Continental. Selesai sarapan kami bergerak terus ke Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu yang terletak berhampiran dengan Masjid Kristal. Taman Tamadun Islam ni antara daya tarikan di Kuala Terengganu. Ada beberapa aktiviti yang menarik untuk dilakukan di Taman Tamadun Islam ni, antaranya berjalan-jalan menimba ilmu di Taman Monumen dan River Cruise. Disebabkan abang kurang ilmu tentang monumen maka abang angkut Kak Mim dan Ziyad ke Taman Monumen.

Harga tiket Taman Monumen

Dewasa RM 22.90
Kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun RM 16.90
Kanak-kanak 6 tahun kebawah PERCUMA
Warga emas RM 16.90

Lepas beli tiket, pelawat akan dapat satu keping passport dan passport ni boleh digunakan untuk dapatkan cop di setiap monumen yang dah dilawati nanti. Memang menarik.

Taman monumen ni juga ada sediakan perkhidmatan trem (keretapi atas jalanraya) untuk bawa korang dari satu lokasi ke lokasi yang lain, bayaran lain akan dikenakan (RM 5 untuk seorang dewasa) untuk gunakan perkhidmatan trem ni. Ada juga kenderaan lain yang disediakan untuk memudahkan anda bergerak di dalam kawasan Taman Monumen ni, antaranya buggy ride, basikal panjang untuk 4 orang dan basikal ala2 beca untuk 6 orang. Semuanya dengan harga yang berbeza. Taman Monumen ni hanya dibuka waktu siang saja, malam tutup, pastikan korang datang awal dan tiket last dijual pada pukul 6.15 petang.Kepada yang tak pernah ke sini, abang rasa bolehlah bawa keluarga santai-santai sambil timba sikit ilmu. Kalau rasa larat nak berjalan pusing-pusing Taman Monumen ni, tak perlu pun bayar untuk trem atau basikal tu semua.

Trem & buggy di Taman Monumen, Kuala Terengganu

Di Taman Monumen ni terdapat 22 monumen dari 21 buah negara termasuk Asia, Eropah dan negara Afrika. Kesemua monumen ni berskala 1:1.7 hingga 1:22 kalau dibandingkan dengan saiz sebenar. Taman Monumen ni berkeluasan 10 hektar dan diantara semua monumen ni, terdapat 5 monumen yang menyediakan aktiviti interaktif dan lebih banyak info tentang monumen tersebut boleh didapati disitu. 5 monumen yang abang sebutkan tadi adalah.

  • Masjid Negara, Kuala Lumpur, Malaysia.
  • Taj Mahal, Agra, India.
  • Kubah As-Sakhrah, Palestine.
  • Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi.
  • Kota Al-Hambra, Granada, Spain.

Kalau nak tau, aktiviti interaktif yang abang cakap tadi contohnya macam tayangan video, koleksi gambar, permainan, kuiz interaktif, artifak dan macam-macam lagi.

Pemandangan sekitar Taman Monumen, Kuala Terengganu

Abang , Kak Mim dan Ziyad berjaya singgah di semua monumen, Alhamdulillah. Lepas selesai kami keluar menuju ke Kampung Losong untuk beli keropok lekor, bila dah dekat nak sampai sana kami singgah solat di Masjid Hiliran Kuala Terengganu. Sebenarnya tujuan pergi Kampung Losong ni untuk cuba-cuba keropok lekor mana yang best untuk dibawa pulang esok. Abang rasa ada satu ni keropok lekor dia menarik juga, nama kedai tu ‘Adnan Keropok’. Ok dah tau keropok mana nak beli esok, kami teruskan perjalanan, lepas ni kami cadang nak ke Chinatown, Kuala Terengganu. Kat sini banyak wall art / street art yang menarik. Ramai yang datang ke Chinatown ni untuk explore pekan yang penuh warna-warni ni.

Memang trend ek sekarang orang ikat kunci mangga ni
Raya dah nak dekat maka ketupat pun bergantungan

Selesai bergambar dekat Chinatown Kuala Terengganu, kami menuju ke NR Cafe untuk makan malam. NR Cafe ni terletak di Tok Jembal dan makanan seafood yang disediakn kat sini memang terbaik, suasana dalam restoran pun agak unik. Selesai makan malam, kami pulang ke hotel untuk berehat. Ziyad pun dah penat sangat malam tu.


Hari Keempat, hari terakhir kami menginap di Hotel Grand Continental, pagi tu abang bawak Ziyad ke swimming pool. Besar juga swimming pool di Grand Continental Kuala Terengganu ni dan masa abang bawa Ziyad ke sini, orang pun tak ramai maka seronok la Ziyad main-main air, abang pun sempat la kuak dada satu dua round.

Lepas selesai, kami bersiap-siap untuk check-out dan lepas tu kami menuju ke Pasar Payang Kuala Terengganu untuk beli apa-apa yang patut. Macam biasalah, kat sini majoriti barang yang dijual adalah pakaian dan keropok untuk dibawa pulang nanti. Abang sempat la beli dua helai seluar pelikat, Ziyad pun beli seluar pelikat jugak.

Terkejut akak ni masa abang ambik gambar dia

Sebelum bergerak keluar dari Kuala Terengganu, kami singgah beli keropok lekor di Kampung Losong untuk dibawa pulang bersama. Terima Kasih Kuala Terengganu, ada masa kami ke sana lagi.

Ikuti kisah Bercuti ke Kuala Terengganu – Part 1

Ikuti kisah Bercuti ke Kuala Terengganu – Part 2

2 Comments

  1. ammar says:

    tima ksh ats pkongsian pglmn

    Reply


    Reply:

    sama2 tuan, terima kasih sudi membaca

    Reply


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.